Wednesday, May 4, 2011

Rangka Kerja Perlindungan Motor Baharu

Ref No: 03/11/05
Embargo: For immediate release
Rangka Kerja Perlindungan Motor Baharu Memastikan Akses Lebih Luas pada Kadar yang Berpatutan

Bank Negara Malaysia ingin mengeluarkan kenyataan berhubung dengan rangka kerja perlindungan motor yang baharu. Rangka kerja baharu ini akan menyediakan penyelesaian secara holistik berhubung dengan isu-isu yang telah dibangkitkan. Rangka kerja baharu ini khususnya akan menangani isu kadar premium yang tinggi dan kesukaran orang ramai untuk mendapatkan perlindungan motor. Strategi dua hala ini digunakan untuk meningkatkan kecekapan dalam penyediaan perlindungan motor dengan pelarasan terhadap kadar premium secara beransur-ansur bagi memastikan orang ramai dapat membeli insurans motor pada harga yang berpatutan, selain mendapat perkhidmatan yang lebih baik dan pembayaran tuntutan insurans yang lebih cepat.

Tarif Motor yang tidak pernah dikaji semula sejak 30 tahun yang lalu menjadi punca utama kepada kesukaran orang ramai dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Meskipun kadar premium tidak pernah dinaikkan, bilangan pemilik kenderaan, kadar kemalangan dan tuntutan insurans telah meningkat dengan nyata.

Di bawah rangka kerja baharu ini, penyelarasan kadar premium yang akan dilkuatkuasakan pada 1 Januari 2012 adalah kecil dan akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang empat tahun. Sebagai contoh, bagi perlindungan Pihak Ketiga,  premium insurans bagi motosikal berkapasiti 110cc akan naik antara RM1.00 hingga RM3.50 setiap tahun (maksimum 30 sen sebulan) dalam jangka masa empat tahun. Bagi kereta persendirian yang berkapasiti 1,400cc, premiumnya akan dinaikkan antara RM6.00 hingga RM34.00 setiap tahun (maksimum RM2.80 sebulan) dalam jangka masa yang sama. Bagi kenderaan perdagangan seperti teksi luar bandar dan bas, kesan daripada pelarasan premium kepada penumpang adalah kecil, iaitu kurang daripada 10 sen bagi setiap penumpang. Selain itu, kategori-kategori kenderaan seperti teksi sewa dan pandu yang jarang sekali atau tidak pernah membuat tuntutan insurans akan mendapat manfaat daripada premium yang lebih rendah atau kadar kenaikan kadar premium yang kecil.

Rangka kerja baharu ini juga akan melibatkan pelaksanaan segera langkah-langkah kritikal bagi menjadikan penyelesaian tuntutan motor lebih cekap. Langkah ini termasuk penubuhan pusat panggilan 24 jam di seluruh negara untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa kemalangan di tempat kemalangan, membantu pengeluaran notis tuntutan yang lebih cepat dan mudah, masa yang lebih pendek untuk mendapatkan laporan polis dan perubatan, dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang cara untuk membuat tuntuan insurans dengan cepat. Kesemua langkah tersebut akan mengurangkan dengan nyata tempoh untuk menyelesaikan tuntutan daripada 1 hingga 5 tahun kepada 6 hingga 18 bulan. Satu Jawatankuasa Bersama (JWC) yang dipengerusikan oleh Bank Negara Malaysia dan dianggotai oleh wakil agensi Kerajaan yang utama, industri insurans dan persatuan pengguna dan perniagaan untuk memantau pelaksanaan langkah-langkah yang telah dikenal pasti.

Pada masa ini, sesetengah pemilik kenderaan persendirian telah dikenakan premium yang tinggi apabila membeli polisi daripada Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP), iaitu penanggung insurans terakhir. Walaupun isu ini telah mendapat perhatian umum yang meluas, ia hanya mencakupi kira-kira 2% daripada jumlah bilangan kenderaan yang dinsuranskan di Malaysia. Kumpulan ini terdiri terutamanya daripada kereta persendirian yang berusia lebih daripada 10 tahun. Bagi menangani isu ini, peraturan dan operasi MMIP sedang dikaji semula bagi memastikan pemilik kenderaan bermotor ini tidak semestinya dianggap berisiko tinggi dan akan mendapat akses kepada perlindungan motor pada premium yang lebih rendah. Bagi kenderaan yang betul-betul berisiko tinggi, akses kepada perlindungan sedemikian akan disediakan melalui MMIP tetapi akan tertakluk kepada premium berpatutan yang sepadan dengan risiko itu.

Bank Negara Malaysia melarang syarikat insurans daripada memaksa pemegang polisi untuk membeli perlindungan tambahan yang bukan berkaitan dengan motor seperti polisi kemalangan diri, apabila membeli perlindungan motor. Bank Negara Malaysia akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang tidak mematuhi peraturan. Sejak tahun 2009, sebanyak 37 aduan mengenai jualan secara paksa telah diterima dan tindakan telah diambil terhadap syarikat insurans berkenaan dan berikutan itu bayaran premium telah dikembalikan semula kepada pemegang polisi. Orang ramai yang menghadapi masalah untuk mendapatkan perlindungan motor atau telah dipaksa membeli perlindungan lain dinasihatkan untuk menghubungi terus talian penting Bank Negara Malaysia di TELELINK: 1 300 88 5465.

No comments: